Mohamad Hasan Ke Myanmar Bincang Usaha Pelan Damai

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berlepas ke Nay Pyi Taw, pusat pentadbiran kerajaan Myanmar, dari Pengkalan Udara TUDM Subang.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memaklumkan lawatan kerja itu bertujuan untuk bertemu dan berbincang dengan Presiden Myanmar, Senior General Min Aung Hlaing (MAH), Perdana Menteri U Nyo Saw serta rakan sejawatnya, Menteri Luar U Than Swe.

Ujarnya, pertemuan itu diadakan susulan pelanggaran gencatan senjata yang berlaku baru-baru ini dan dilihat menggugat usaha pelan damai serta memburukkan lagi keadaan di negara berkenaan.

“Pelanggaran gencatan senjata baru-baru ini menggugat usaha pelan damai dan memburukkan keadaan lagi,” katanya.

Beliau dijangka akan membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengembalikan semula keamanan dan kestabilan di Myanmar, termasuk memperkukuh kerjasama dua hala serta mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik yang berlarutan.

Lawatan ini turut menunjukkan komitmen Malaysia untuk terus menyokong usaha serantau dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat Myanmar melalui pendekatan diplomasi dan dialog yang konstruktif. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO