UMNO Labuan Terus Semarak Perpaduan Dan Kebajikan
LABUAN, 8 Okt – Semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat Labuan terus terserlah apabila lebih 1,000 penduduk pelbagai kaum dan agama membanjiri Balairaya Kampung Sungai Keling bagi meraikan Sambutan Perayaan Moon Cake 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni, malam tadi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, yang hadir memeriahkan majlis tersebut melahirkan rasa terharu dan bangga dengan sambutan luar biasa masyarakat Tiong Hua serta sokongan padu daripada pemimpin-pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.

Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Keling itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian naga, tarian singa, persembahan bunga api dan perarakan tanglung yang menceriakan suasana malam penuh makna itu.
Menurut Mohd Rafi, perayaan ini bukan sekadar simbol kebudayaan tetapi membawa mesej mendalam tentang nilai kekeluargaan, keharmonian dan kesyukuran yang menjadi asas penting kepada perpaduan masyarakat Labuan.
“Saya berasa bangga melihat masyarakat Labuan terus bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama. Inilah kekuatan sebenar kita iaitu hidup dalam suasana aman, makmur dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Puan Goh Siew Ling, Ketua Kampung Sungai Keling selaku penganjur, serta semua pihak yang menjayakan sambutan yang menjadi simbol keharmonian dan perpaduan masyarakat Labuan.
Dalam program berlainan sebelum itu, Mohd Rafi bersama Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Labuan dan Team DMR meneruskan program khidmat masyarakat melalui Program Peduli Rakyat UMNO Labuan dengan menyerahkan 900 kilogram beras kepada sembilan pasangan bakal pengantin tempatan.

Ujarnya, sumbangan tersebut disampaikan sebagai tanda prihatin dan sokongan UMNO terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya pasangan muda yang bakal memulakan kehidupan berumahtangga.
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan, tetapi simbol kasih dan kepedulian UMNO terhadap rakyat. Kita jadikan politik ini sebagai satu ibadah iaitu kita beramal dan membantu menggunakan platform politik yang paling dekat di hati rakyat Labuan, iaitu UMNO,” tegas beliau.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pergerakan Wanita UMNO Labuan, Sekretariat Kebajikan UMNO Labuan, dan semua rombongan yang menjayakan program tersebut. – UMNO Online
