Pesta Tanglung Maju Johor Catat Rekod Malaysia, Bukti Perpaduan Masyarakat Parit Yaani

BATU PAHAT, 8 Okt – Semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani terserlah apabila Pesta Tanglung Maju Johor berjaya mencatat sejarah tersendiri dengan tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri, berkata kejayaan itu bukan sahaja membanggakan penduduk setempat malah mencerminkan kerjasama serta muafakat erat yang wujud dalam kalangan masyarakat di kawasan berkenaan.

“Pesta Tanglung ini merupakan salah satu daripada program sempena Jelajah Orang Johor (JOJ) DUN Parit Yaani dan telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

“Tahniah khususnya kepada warga DUN Parit Yaani dan penduduk Batu Pahat kerana berjaya mencipta sejarah apabila Pesta Tanglung Maju Johor diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

“Selain itu, pesta kali ini yang bertemakan pemakaian etnik turut menerima pengiktirafan bagi kategori perarakan pemakaian etnik yang melibatkan seramai 1,502 peserta, sekali gus menjadi lambang perpaduan masyarakat yang berbilang kaum yang terdapat di negeri ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah sesuatu yang wajar dibanggakan kerana ia menjadi simbol keharmonian dan semangat perpaduan masyarakat majmuk di kawasan berkenaan.

“Sesuatu yang perlu dibanggakan kerana kita berjaya menjadikannya realiti. Kejayaan ini tidak datang hanya kerana saya seorang, tetapi hasil usaha dan perpaduan semua pihak yang berganding bahu menjayakannya. Inilah bukti semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di DUN Parit Yaani,” ujarnya.

Acara bersejarah itu turut diserikan dengan kehadiran wakil rasmi Malaysia Book of Records, Megat Farish Hussein Megat Muzaffar Shah; Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim; Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Mohd Farid Kassim; ADUN Parit Raja, Nor Rashidah Ramli; ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng, serta Ahli Majlis MPBP Zon 8, Datuk Lassim Burhan.

Pelbagai acara menarik telah diadakan sempena JOJ DUN Parit Yaani yang berakgir Ahad lalu. Antaranya pameran agensi kerajaan & jabatan, Larian Neon Santai & Night Run, Pertandingan e-sukan & bola keranjang, Pertunjukan lawan pedang dan sebagainya lagi,  manakala pada sebelah malam, pengunjung disajikan dengan program kerohanian seperti Gema Maulid dan Sri Gading Berselawat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO