Penangguhan RUU URA Bukti UMNO Berperanan Aktif Dalam Kerajaan
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berpandangan keputusan menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA/PSB) diibarat kemenangan moral buat UMNO.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata, perkara itu sekali gus membuktikan bahawa meskipun UMNO hanya mempunyai 26 Ahli Parlimen, ia bukan alasan untuk tunduk kepada rakan-rakan dalam kerajaan termasuk Dap yang memiliki jumlah Ahli Parlimen lebih besar.
“Lebih menarik Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming seperti akur untuk rombak secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan 3 resolusi dan 14 cadangan konvensyen URA yang dianjurkan oleh UMNO Jumaat yang lepas.
“Kemenangan moral buat UMNO yang telah memainkan peranannya di dalam kerajaan agar kepentingan dan kesejahteraan rakyat perlu dipelihara dan dibela walaupun hanya mempunyai 26 AP.
“Senang cakap tiada istilah ‘UMDAP’ seperti sering kali yang dimomok dan dilabelkan oleh pembangkang kepada kita. Kita juga tahu pembangkang-Perikatan Nasional juga ingin menjuarai isu ini, tetapi perlu diingat UMNO telah mendahului dengan mendesak kerajaan menangguhkan RUU URA ini dan ianya berjaya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Gulam Muszaffar juga memaklumkan dalam fasa seterusnya UMNO yang diterajui Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan membawa keputusan UMNO dalam sesi libaturus dan perbicangan bagi merombak secara besar-besaran RUU URA sebelum dibentangkan sekali lagi di Parlimen kelak.
Katanya UMNO akan memastikan RUU ini memihak kepada semua pihak berkepentingan dengan memastikan keadilan sosial, kesejahteraan, kebajikan dan pembangunan fizikal untuk rakyat juga akan diambil kira sepenuhnya.
“Biar apa pun tanggapan haters terhadap UMNO, yang penting UMNO bijak mengurus dan mengunakan kuasa politiknya yang ada bila ianya perlu ditonjolkan.
“Anologi mudah, tak guna kita bersorak seperti anjing menyalak bukit, lebih baik menjadi seperti diam-diam ubi tetapi berisi. Itu beza UMNO bila dalam kerajaan bukan seperti PPBM. Kedua-duanya kerajaan ada Dap,” ujar beliau. – UMNO Online
