GRS Tidak Layak Diberi Peluang Kedua, RM1.33 Bilion Modal Insan Gagal Jana Pekerjaan
BELURAN, 8 Okt – Ketua Penerangan BNCom Wanita Bahagian Beluran, Rosario Eusebio menegaskan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bukan sekadar menandakan tamatnya penggal pemerintahan, tetapi membawa isyarat jelas bahawa rakyat telah hilang kepercayaan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut beliau, lima tahun pemerintahan GRS tidak menunjukkan hasil yang membanggakan, sebaliknya penuh dengan kepura-puraan dan kegagalan dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

“GRS sering mendabik dada kononnya mencapai 94 peratus pencapaian, tetapi realitinya amat berbeza. Jika benar mereka cemerlang, mengapa ribuan graduan TVET Sabah masih menganggur walaupun kerajaan telah membelanjakan RM1.33 bilion untuk latihan kemahiran?” katanya dalam satu kenyataan.
Rosario berkata, peruntukan besar yang sepatutnya menjadi pelaburan masa depan rakyat kini menjadi simbol kegagalan dasar pentadbiran yang tidak berpijak di bumi nyata.
“TVET di bawah GRS hanya menjadi projek hiasan politik iaitu indah di atas kertas tetapi kosong dalam hasil. Anak muda tidak perlukan lebih banyak majlis pelancaran atau papan tanda projek. Mereka perlukan pekerjaan sebenar, pendapatan stabil dan jaminan masa depan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa BN/UMNO sebelum ini telah membuktikan bahawa pembangunan harus berasaskan penjajaran ekonomi tempatan, dengan contoh pelaksanaan TVET berfokus di beberapa daerah utama.
“BN dahulu menumpukan TVET di Lahad Datu untuk automasi kelapa sawit dan logistik, di Kudat untuk perikanan serta pembinaan kapal, dan di Sandakan untuk teknologi pertanian moden. Inilah pendekatan sebenar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” jelasnya.
Tambah Rosario, rakyat Sabah tidak boleh lagi diperdaya dengan angka dan slogan pencapaian semata-mata.
“GRS sudah diberi masa, peluang dan dana. Namun yang tinggal hanyalah cerita manis tanpa hasil nyata. RM1.33 bilion yang gagal melahirkan pekerjaan adalah bukti paling jelas bahawa GRS tidak layak diberi peluang kedua,” tegasnya lagi. – UMNO Online
