UMNO Tolak URA Berdasarkan Fakta, Demi Lindungi Hak Rakyat – Shahanim
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusoff menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO kerana ketegasan parti menolak pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA).
Menurutnya, keputusan tersebut menunjukkan keprihatinan dan kebijaksanaan kepimpinan parti dalam mempertahankan hak rakyat, khususnya golongan yang terkesan dengan pembangunan semula bandar.
“Terima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan juga akar umbi parti kerana satu keputusan yang telah dibuat oleh parti bahawa menolak Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ataupun URA.
“UMNO tolak URA dengan fakta setelah mendengar suara akar umbi, pelbagai masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, penduduk-penduduk dikawasan bandar dan bukannya dengan emosi seperti turun ke jalanan.
“UMNO mengkaji dengan telus agar masyarakat Melayu mendapat manfaat dari kemudaratan. Siapa yang tidak mahu pembangunan di bandar? Kita nak pembangunan baharu tapi harus ada perbincangan dengan SPNB, MARA, UDA dan banyak lagi agensi-agensi kerajaan,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Shahanim menyeru agar agensi-agensi kerajaan turut memainkan peranan utama dalam pelaksanaan URA supaya kepentingan rakyat terjamin.
Jelasnya, penyertaan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan projek pembangunan tidak hanya berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi turut memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk tempatan, khususnya masyarakat Melayu di kawasan bandar.
“Mereka (agensi kerajaan) mempunyai budi bicara dan tanggungjawab sosial yang berbeza dengan pihak kontraktor. Agensi kerajaan tidak mementingkan keuntungan semata-mata kerana mereka menitikberatkan kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi orang Melayu.
“Kita tidak mahu orang Melayu dalam bandar lenyap dan dikuasai oleh orang lain. Kita kena pertahankan dan menyokong pada akar umbi serta pimpinan UMNO dengan menolak URA dengan fakta apabila membuat kajian serta memikirkan manfaat dan mudaratnya,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama kata Shahanim lagi, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terus memainkan peranan penting dalam kerajaan bagi memastikan pelaksanaan URA tidak menjejaskan kepentingan masyarakat Melayu di kawasan bandar.
“Setiap ahli Parlimen BN sedar URA ini boleh menenggelamkan masyarakat Melayu di bandar jika pelaksanaannya tidak dikawal. Contohnya, apabila tanah orang Melayu diambil dan hanya dibina semula 400 unit rumah untuk mereka, tetapi 2,000 unit lagi disediakan untuk masyarakat lain. Situasi ini akan mengubah komposisi penduduk dan memberi kesan kepada keseimbangan politik tempatan,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pasukan Khas UMNO merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan UMNO tidak menolak konsep pembangunan semula bandar, namun proses itu perlu dibuat secara tersusun dan terancang tanpa mengabaikan kepentingan pemegang taruh.
Langkah itu diambil bagi membolehkan RUU berkenaan ditambah baik supaya cadangan akta lebih komprehensif dengan mengambil kira pandangan serta kritikan masyarakat pelbagai lapisan. – UMNO Online
