UMNO Dengar Suara Rakyat, Tangguh RUU URA Elak Kelompongan – Mohd Zaidy

JEMPOL, 7 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menyambut baik keputusan tegas UMNO untuk menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sehingga semakan dan rombakan menyeluruh dapat dilakukan.

Beliau berkata langkah tersebut selaras dengan suara rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang telah dizahirkan melalui Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar pada 3 Oktober lalu.

“Pendirian ini bukan bermaksud menolak pembangunan, tetapi menuntut pembangunan yang lebih seimbang dan beretika. Dasar pembaharuan semula bandar perlu mengambil kira kepentingan komuniti tempatan, warisan sejarah serta hak penduduk yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Tambah beliau, sebarang dasar pembangunan tidak boleh hanya bersandar kepada logik pasaran dan kepentingan pemaju semata-mata tanpa pengawasan kerajaan terhadap nilai sosial dan identiti setempat.

Menurut Mohd Zaidy, kesan pelaksanaan URA tidak boleh dipandang ringan, khususnya terhadap kawasan luar bandar dan separa bandar seperti Jeram Padang.

“Apa-apa dasar pembangunan yang menyentuh aspek pemilikan tanah, perancangan semula bandar, dan pelaksanaan perobohan atau pemindahan boleh memberi kesan besar terhadap struktur komuniti setempat.”

Sehubungan itu, beliau berikrar untuk terus memantau perkembangan isu berkenaan serta memastikan suara penduduk Jeram Padang turut diangkat dalam sebarang proses rundingan.

“Saya percaya UMNO akan terus menjadi penjaga kepentingan rakyat, bukan sahaja di bandar besar, tetapi juga di daerah seperti Jempol yang memiliki sejarah, komuniti dan hak yang wajar dipertahankan,” katanya.

Beliau juga turut menzahirkan keyakinan terhadap pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai wakil UMNO untuk mengetuai rundingan semakan semula RUU berkenaan.

“Ketokohan beliau sebagai pemimpin kerajaan dan korporat terbukti. Keprihatinan beliau terhadap komuniti bandar di kawasan Parlimen beliau sendiri juga tidak boleh dinafikan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Konvensyen URA telah menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan RUU berkaitan bagi membolehkan kajian semula menyeluruh dilaksanakan ekoran drafnya mengandungi banyak kelemahan yang boleh menjejaskan hak pemilik hartanah serta membuka ruang kepada eksploitasi pemaju.

Konvensyen terbabit mencadangkan tiga resolusi dengan menggesa kerajaan mengambil kira 14 cadangan yang dikemukakan bagi menutup kelompongan RUU sedia ada sebelum ia dibentangkan kelak. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO