Isu Hidangan Arak: Ambil Tanggungjawab, Jangan Tuding Jari Kepada Pihak Swasta
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Setiausaha UMNO Negeri Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berpandangan bahawa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu mengambil tanggungjawab di atas insiden hidangan arak yang berlaku dan tidak hanya menuding jari kepada pihak swasta.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, insiden tersebut menyentuh maruah dan sensitiviti Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“UMNO Johor memandang serius isu hidangan arak dalam majlis rasmi yang dikaitkan dengan Tourism Malaysia baru-baru ini. Bagi saya, perkara ini bukan soal kecil atau isu pinggiran, tetapi menyentuh maruah Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan sensitiviti majoriti umat Islam di negara ini.
“Bagi UMNO Johor, tidak ada ruang untuk sebarang bentuk kompromi apabila melibatkan perkara yang jelas haram di sisi Islam, apatah lagi apabila ia berlaku dalam acara rasmi dikaitkan dengan agensi kerajaan.
“UMNO Johor menolak sekeras-kerasnya budaya menjadikan arak sebagai sebahagian daripada hidangan atau simbol ‘pergaulan antarabangsa’ , kerana ia langsung tidak mencerminkan nilai dan identiti negara yang berteraskan Islam,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, tanggungjawab moral dan politik tetap terletak di bahu kementerian terutamanya apabila acara tersebut dijenamakan bersama Tourism Malaysia.
“MOTAC dan menterinya perlu memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Jangan hanya mencari alasan atau menuding jari kepada pihak swasta semata-mata untuk mempertahankan keterlanjuran yang berlaku di bawah agensi kementerian sendiri.
“Tanggungjawab moral dan politik tetap terletak di bahu kementerian, terutamanya apabila acara itu diiklankan, dihadiri dan dijenamakan bersama Tourism Malaysia.
Saya juga ingin menegaskan bahawa dalam konteks pentadbiran kerajaan yang ditunjangi oleh majoriti pemimpin beragama Islam, prinsip dan etika Islam mesti menjadi garis panduan utama dalam sebarang tindakan, dasar serta majlis rasmi kerajaan.
“Tidak wajar ada majlis di bawah naungan kementerian kerajaan yang membenarkan hidangan arak, walau atas alasan ‘program antarabangsa’ atau ‘inisiatif swasta’,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru agar kerajaan segera menetapkan garis panduan rasmi dan pekeliling jelas supaya perkara sebegini tidak berulang lagi.
“UMNO Johor berdiri teguh menyokong kenyataan tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama Pemuda UMNO dan Majlis Ulama UMNO, yang menyifatkan tindakan ini sebagai sesuatu yang mencemar imej kerajaan serta mengguris hati umat Islam.
“UMNO Johor menyeru agar kerajaan segera menetapkan garis panduan rasmi dan pekeliling jelas supaya perkara sebegini tidak berulang lagi di mana-mana majlis kerajaan atau agensinya.
“Sudah tiba masanya semua pihak sedar, kemajuan dan kemodenan bukan alasan untuk menukar nilai agama dengan budaya hedonisme. Malaysia boleh menjadi negara pelancongan kelas dunia tanpa perlu mengorbankan prinsip Islam dan maruah bangsa sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online
