Inisiatif UMNO Komited Lindungi Kepentingan Rakyat Untuk Laksana URA – Jasnizam Husni
KUALA LUMPUR, 7 Okt – UMNO telah mengambil satu inisiatif penting berhubung pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) bagi memastikan kepentingan rakyat, khususnya masyarakat Melayu di kawasan bandar, terus terpelihara.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Muhamad Jasnizam Muhamad Husni berkata, inisiatif kejayaan konvensyen baru0baru ini merupakan langkah proaktif parti dalam meneliti setiap aspek undang-undang agar pelaksanaannya tidak menjejaskan pemilikan tanah, kepentingan ekonomi serta kestabilan sosial masyarakat setempat.
“UMNO tidak menolak usaha yang baik untuk pembaharuan URA ini tetapi ianya perlu ada kerangka kerja yang teliti bagi tidak meninggalkan mana-mana golongan khususnya orang Melayu di bandar.
“URA ini adalah perkara yang penting terutamanya yang melibatkan penempatan khususnya orang-orang Melayu di kawasan bandar ini yang menjadi warisan simbol adat dan budaya kita sebelum ini.
“UMNO tidak menolak pembaharuan tetapi memerlukan penambahbaikan yang lebih lagi serta berkesan bagi masyarakat Melayu di bandar. Pola penempatan yang baharu ini harus menjaga semua lapisan masyarakat agar kesejahteraan terjamin,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Jasnizam yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, URA ini menjadi persoalan pelbagai masyarakat kerana ianya terjadi di kawasan bandar dan melibatkan pelbagai pihak termasuk pemilik tanah, pemaju serta penduduk setempat.
“Isu ini bukan sekadar soal pembangunan, tetapi melibatkan masa depan dan kestabilan komuniti yang telah lama terbina. UMNO melalui konvensyen yang dianjurkan perlu menjadi platform untuk menyalurkan pandangan akar umbi kepada kerajaan supaya setiap dasar yang digubal benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat.
“Konvensyen seperti ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat terutamanya orang muda untuk memahami dan menilai implikasi sesuatu dasar. Kita tidak menolak pembangunan, tetapi biarlah ia dilaksanakan secara adil dan tidak menindas mana-mana pihak,” tegasnya.
Beliau turut menambah bahawa suara daripada negeri dan bahagian perlu didengari agar tidak berlaku keputusan terburu-buru tanpa penelitian mendalam dan perkara ini UMNO telah buktikan dalam konvensyen ini.
“UMNO mesti terus memainkan peranan sebagai suara rakyat yang tegas, rasional dan bertanggungjawab. Apa jua keputusan yang dibuat oleh kerajaan perlu menitikberatkan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan pihak tertentu,” katanya lagi.
Tambah Jasnizam lagi, perbahasan di peringkat Parlimen penting supaya semua ahli Parlimen memahami implikasi sebenar pelaksanaan akta tersebut terhadap masyarakat, khususnya penduduk Melayu di kawasan bandar.
“Perkara sebegini harus dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan agar semua ahli Parlimen mengetahui dan maklumat tersebut dapat terus disampaikan kepada akar umbi parti dan juga masyarakat.
“Sekiranya penjelasan tidak diberikan kepada rakyat, maka pelbagai persepsi akan timbul dan boleh menimbulkan kekeliruan. Ini akan menyebabkan perkara yang tidak pasti akan disebarkan tanpa asas yang kukuh,” jelasnya. – UMNO Online
