Ahmad Zahid Terima Kunjungan Hormat Panglima Angkatan Tentera Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 7 Okt — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat daripada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar di Parlimen.
Pertemuan tersebut merupakan yang pertama sejak Tan Sri Mohd Nizam dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-23 awal tahun ini.

Ahmad Zahid berkata, pertemuan itu memperkukuh hubungan baik serta kesinambungan kerjasama erat antara kepimpinan negara dan institusi pertahanan tanah air.
“Kami sempat bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan keselamatan dan pertahanan negara, khususnya dalam memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus berada di tahap tertinggi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap komitmen tinggi seluruh warga ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.
“Saya sentiasa mendoakan semoga Angkatan Tentera Malaysia terus kekal sebagai benteng utama tanah air yang disegani, dihormati dan sentiasa siap siaga dalam apa jua keadaan,” tambah Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO. – UMNO Online
