UMNO/BN Sabah Sedia Hadapi PRN17, Bung Moktar Seru Rakyat Tentukan Hala Tuju
KOTA KINABALU, 6 Okt – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah sudah bersedia sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, susulan pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebentar tadi.
Menurutnya, kesiapsiagaan jentera parti telah lama diperkukuh di semua peringkat termasuk bahagian, sayap dan pusat daerah mengundi (PDM), bagi memastikan kemenangan calon-calon BN di seluruh negeri.
“Kita tidak menunggu esok. Persediaan kita sudah lama berjalan. Semua jentera kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO dan BN bukan baharu dalam perjuangan politik Sabah, sebaliknya memiliki pengalaman luas dalam mentadbir dan membangunkan negeri itu.
“Pengalaman ini menjadi bekal utama kita untuk melaksanakan tugas dengan lebih tersusun dan berkesan,” ujarnya.
Bung Moktar menambah, PRN kali ini akan menyaksikan UMNO/BN tampil dengan strategi dan pendekatan yang selaras dengan kehendak rakyat, berpaksikan pelan tindakan nyata dan bukan sekadar janji kosong.
“Politik hari ini menuntut kebijaksanaan dan kepekaan terhadap suara rakyat. Kita tidak datang dengan kata-kata manis, tetapi dengan pelan dan tindakan yang nyata,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengkritik kegagalan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam mengurus ekonomi, pelaburan dan pembangunan negeri.
“Rakyat sudah melihat sendiri kegagalan kepimpinan GRS. Banyak kawasan masih ketinggalan, peluang pekerjaan sempit dan dasar pembangunan negeri tidak tersusun,” tegasnya.

Bung Moktar yakin rakyat Sabah akan membuat pilihan yang bijak untuk memilih parti dan calon yang mampu membawa perubahan positif dan mengembalikan kestabilan politik negeri.
“Kita sudah bersedia membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Sabah. Pengalaman UMNO-BN akan menjadi sandaran untuk memulihkan semula Sabah ke landasan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat.”
Beliau juga menyeru seluruh jentera dan rakyat untuk bersama-sama berjuang memastikan UMNO-BN kembali menerajui kerajaan negeri.
“Dengan izin Allah SWT dan sokongan rakyat, UMNO-BN akan memimpin semula negeri ini dengan semangat baharu, berpaksikan pengalaman lama yang telah teruji,” tambahnya lagi. – UMNO Online
