STAR, SAPP Cuba Hidupkan Helah Lama Menjelang PRN Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 6 Okt – Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai taktik politik lama yang diulang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, langkah tersebut bukanlah strategi bijak, sebaliknya merupakan helah lapuk yang sering digunakan oleh watak politik sama demi kepentingan peribadi.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa tindakan STAR dan SAPP keluar daripada GRS hanyalah taktik politik menjelang PRN Sabah. Namun bagi saya, ia bukan strategi baharu tetapi helah lama yang diulang semula oleh pemain politik yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Bung Moktar, dalam politik Sabah, ramai yang pandai berpura-pura memperjuangkan rakyat namun hakikatnya hanya sibuk mengejar kuasa.

“Seperti kata orang tua-tua, ‘musang berbulu ayam, licik menipu, konon menjaga kandang tapi dialah pemangsa sebenar.’ Begitulah politik sesetengah pemimpin hari ini iaitu menyorok di balik slogan rakyat, tetapi setiap langkah hanya untuk menyelamatkan diri menjelang PRN,” ujarnya.

Beliau menegaskan, rakyat kini semakin bijak menilai dan tidak mudah diperdaya dengan gelagat politik yang berpura-pura.

“STAR dan SAPP boleh keluar masuk gabungan sesuka hati, tapi rakyat bukan lagi mudah diperbodoh. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Gelagat politik seperti ini sudah lapuk – rakyat tahu membezakan antara pejuang sejati dan pedagang janji,” katanya.

Tambahnya lagi, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bersekongkol dengan politik dua wajah yang menggadaikan prinsip demi kuasa.

“UMNO dan BN tidak menjual prinsip untuk sepinggan kuasa. Fokus kami jelas iaitu membina semula Sabah dengan kestabilan, integriti dan hala tuju yang nyata,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO dan BN Sabah akan terus berpegang pada perjuangan sebenar demi rakyat, bukan politik sandiwara.

“Yang menyalak paling kuat jarang menggigit, cuma mahu tunjuk taring pada bayang sendiri. UMNO BN Sabah tetap fokus pada perjuangan sebenar, bukan politik lakonan dan tipu helah,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO