Rombak RUU URA: Suara Rakyat, Kepentingan Awam Jadi Teras UMNO
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Langkah UMNO menuntut rombakan penuh Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau URA menjadi bukti bahawa suara rakyat dan kepentingan awam sentiasa menjadi teras parti.
Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, menerusi hantaran di laman Facebooknya mengucapkan syabas dan tahniah kepada UMNO yang sentiasa tuntas mendengar suara rakyat dalam apa jua situasi.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada UMNO atas ketegasan mendengar suara rakyat seterusnya menuntut penangguhan serta semakan semula RUU URA. RUU ini dalam bentuk asalnya jelas mengabaikan prinsip asas kepentingan awam (public interest) dan partisipasi rakyat dalam proses pembaharuan semula bandar.
“Pada hemat saya, semangat mana-mana undang-undang baharu seharusnya mengutamakan hak dan kebajikan rakyat seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan, bukan hanya kepentingan pemaju atau kelompok tertentu,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, RUU URA sedia ada menunjukkan banyak kelompongan perundangan yang tidak jelas.
“URA juga menunjukkan banyak kelompongan perundangan yang tidak jelas, berpotensi menimbulkan ketidakadilan dan konflik hak milik tanah. Langkah UMNO menuntut rombakan menyeluruh adalah isyarat bahawa suara rakyat dan kepentingan awam mesti menjadi teras sebelum sebarang pindaan atau undang-undang baharu dibentangkan.
“Kita tidak menolak pembangunan, tetapi ia mesti berasaskan kepentingan awam dan hak rakyat. Bukan mengorbankan mereka atas nama pembaharuan semula bandar di bawah telunjuk mereka yang berkuasa,” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO berpendirian tegas untuk menangguhkan RUU URA yang sedia ada.
Ujarnya, RUU URA tidak akan diteruskan untuk sesi pembentangan di Sidang Dewan Rakyat akan datang sehingga dilakukan rombakan besar dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
Keputusan tersebut dibuat selaras dengan Konvensyen URA yang diadakan pada pagi hari yang sama, mengumpulkan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemaju, orang perseorangan daripada pelbagai kaum.
Pada 28 Ogos lalu, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU PSB atau URA ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.
Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.
RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming, sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
