Konvensyen URA Bukti UMNO Terus Jadi Benteng Pertahan Kepentingan Rakyat – TPr Abdul Razak
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Kejayaan Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA) pada Jumaat lalu adalah bukti inisiatif dari UMNO meskipun parti kini sebahagian dari Kerajaan Perpaduan, kata Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman.
Menurutnya, dalam sesi Parlimen sebelum ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi benteng utama yang menolak bacaan kedua diteruskan kerana ia tidak mengambil kira kepentingan rakyat.
“UMNO memainkan peranan yang sangat besar terutamanya dalam mempertahankan kepentingan ummah dan di dalam Parlimen sebelum ini, parti ini adalah satu-satunya benteng yang mempertahankan agar bacaan kali kedua tidak diteruskan.
“Walaupun UMNO minoriti dalam bandar dan mempunyai satu Parlimen saja tetapi parti ini terus menjuarai dan mewakili serta mengambil kira pandangan semua pihak untuk mempertahankan serta kegusaran rakyat.
“Ini terbukti bahawa UMNO sama sekali tidak meninggalkan perjuangan asal dan masih lagi memperjuangkan kepentingan rakyat khasnya orang Melayu,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau yang juga salah seorang ahli perancang bandar menyatakan keyakinan bahawa hasil pandangan dari konvensyen tersebut akan mampu memberi impak besar kepada dasar negara.
“Saya percaya hasil dari konvensyen ini dan juga forum BN sebelum ini serta dapatan daripada ‘Google QR Form’ yang telah diedarkan dan mendapat maklum balas lebih 1,200 pandangan.
“Pandangan tersebut dikumpulkan dengan satu resolusi dan serahkan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dibawa ke kabinet.
“Kita amat berharap agar pandangan-pandangan ini khasnya kebimbangan UMNO sekiranya berlaku pelaksanaan RUU (Rang Undang-undang) URA ini, maka diharap pandangan-pandangan ini dapat diambil kira dan diubah serta ditambahbaikkan,” katanya.
Tambah Abdul Razak, apa saja yang berlaku selepas pelaksanaannya akan memberi kesan yang amat besar khasnya kepada orang Melayu di dalam bandar.
Terdahulu, Ketua Pasukan Khas UMNO merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa RUU URA perlu diperhalusi dengan baik bagi mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat. – UMNO Online
