Isu Hidang Arak: Menteri Perlu Ambil Tanggungjawab – Muhammad Sufian
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi berpandangan bahawa Menteri Pelancongan, Datuk Tiong King Sing perlu mengambil tanggungjawab terhadap isu hidangan arak di sebuah majlis kerajaan baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan beliau turut berkata, kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia perlu dihormati terutamanya oleh mana-mana agensi kerajaan.

“Menteri Pelancongan, YB Tiong perlu mengambil tanggungjawab kerana secara terang-terangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terlibat sama dalam penganjuran ini.
“Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan Islam sebagai agama rasmi persekutuan perlu dihormati apatah lagi ia penganjuran agensi kerajaan
“Jangan timbulkan polemik yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan rakyat dengan program yang menyalahi peraturan,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan para pelayan di majlis tersebut membawa hidangan arak kepada para tetamu yang hadir.
Pada Sabtu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
Jelasnya, acara makan malam yang dijadikan isu oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Beliau berkata, memandangkan Tourism Malaysia buat julung kalinya menganjurkan acara global sedemikian, pihak industri dan sektor swasta teruja sehingga berhasrat untuk menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam itu. – UMNO Online
