Homestay Malaysia Pemacu Tahun Melawat Malaysia 2026 – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 6 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa inap desa atau homestay merupakan nadi penting dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) kerana berperanan sebagai penghubung antara pelancong dan komuniti desa.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, konsep inap desa bukan sekadar menawarkan tempat penginapan, tetapi turut memacu ekonomi setempat, melestarikan budaya, memperkukuh perpaduan serta membuka peluang baharu kepada generasi muda.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa Kali Ke-3 Bil.2/2025, yang diadakan bagi memperhalusi pelaksanaan Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) sebagai antara tonggak utama VM2026.

“Mesyuarat hari ini bersetuju memperkukuh kerjasama antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi-agensi berkaitan bagi menyelaras promosi, latihan dan pembiayaan kepada pengusaha inap desa
di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tambah beliau, antara fokus utama ialah peningkatan kualiti perkhidmatan, pengukuhan platform digital tempahan serta pemantapan infrastruktur desa agar pengalaman pelancong benar-benar mencerminkan wajah sebenar Malaysia.

“Melangkah ke #VM2026, inap desa mesti berdiri sebagai simbol hospitaliti desa Malaysia di mata dunia — tempat di mana pelancong datang bukan hanya untuk melihat, tetapi untuk merasai keindahan kehidupan di desa,” ujar Ahmad Zahid lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO