Ahmad Zahid Yakin Hubungan Malaysia–Pakistan Terus Subur
PUTRAJAYA, 6 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin hubungan akrab antara Malaysia dan Pakistan akan terus subur berasaskan semangat persaudaraan sejati yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, hubungan tersebut bukan sahaja menjadi asas kepada kerjasama erat dalam pelbagai bidang, tetapi turut membuka peluang baharu kepada rakyat kedua-dua negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan penting di rantau Asia Selatan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menghadiri Istiadat Sambutan Rasmi sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, TYT Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia yang berlangsung di Dataran Putra, Putrajaya pagi tadi.
Menurut beliau, lawatan rasmi berkenaan merupakan kunjungan balas kepada lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Islamabad tahun lalu, melambangkan semangat muhibah serta komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh persahabatan dan kerjasama dua hala.
“Lawatan ini turut membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama baharu termasuk dalam bidang perdagangan, halal, pendidikan tinggi dan pertahanan,” katanya.
Beliau juga menzahirkan keyakinan bahawa hubungan dua hala Malaysia–Pakistan akan terus membawa manfaat bersama dan kekal utuh sepanjang zaman. – UMNO Online
