Skuad YPM Johor Simbol Kekuatan Generasi Muda, Agenda Pendidikan Bumiputera Diperhebatkan
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki teruja dengan semangat luar biasa dan suasana gegak gempita serta sorakan yang ditunjukkan apabila hampir lima ribu pelajar Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dari seluruh 26 Parlimen negeri Johor memenuhi segenap ruang stadium.
Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, merasmikan Majlis Pelancaran Skuad YPM Peringkat Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.

“Ini merupakan satu simbol kekuatan generasi muda Johor yang mempunyai semangat kesukarelawan yang tinggi demi pembangunan pendidikan anak bangsa di Johor.
“Skuad YPM bukan sekadar sukarelawan pendidikan, tetapi mereka adalah ‘role model’ anak muda luar bandar yang tampil sebagai ejen perubahan sosial membimbing, memberi inspirasi dan menghubungkan anak-anak pelajar dengan pelbagai peluang dalam ekosistem MARA, sama ada laluan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) mahupun pengajian di Institusi Pendidikan MARA (IPMA),” kata Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya, Dr Asyraf berharap dengan pendedahan yang diberikan kepada mereka, agenda pendidikan Bumiputera akan terus diperhebatkan agar tiada pelajar tercicir daripada menikmati peluang pendidikan berkualiti.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas peruntukan RM1.8 juta bagi menjayakan Program Skuad YPM ini di seluruh negeri Johor.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa generasi muda dan memastikan setiap anak Johor mendapat peluang pendidikan yang terbaik,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE
