Sidang Dewan: Kepentingan Rakyat, Negara Jadi Agenda Utama Perbahasan BN
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Majlis Taklimat Khas atau ‘pre-council’ menjadi wadah bagi membincangkan isu-isu semasa, sekaligus mempersiapkan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sempena persidangan Parlimen yang akan dibuka semula minggu hadapan.
Dalam satu perkongsian di laman sosialnya, Khaled menghadiri Majlis Taklimat Khas bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut dihadiri ahli Parlimen, ahli Dewan Negara dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.

“Insya-Allah, BN komited memastikan setiap perbahasan, sama ada di Parlimen mahupun DUN (Dewan Undangan Negeri), berlangsung dengan berkualiti dan berhemah, demi kepentingan rakyat dan negara,” kata Khaled yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Kota Tinggi.
Dilaporkan, Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat, akan berlangsung selama 35 hari bermula esok hingga 4 Disember depan.
Dijadualkan juga, pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan akan berlangsung pada 4 petang, 10 Okt0ber ini.
Selain persidangan Dewan Rakyat, sidang Dewan Negara akan menyusul pada 1 Disember dan akan bersidang selama 12 hari. – UMNO ONLINE
