Baiki RUU URA, Cadang Letak Di Bawah Pejabat Perdana Menteri – Shaik Hussein

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Wakil UMNO Zon Utara, Datuk Ir Shaik Hussein Mydin mencadangkan agar Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ataupun URA diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri sekiranya dilaksanakan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan berkata, walau bagaimanapun terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki termasuklah dari sudut kuasa menteri jika Rang Undang-Undang (RUU) ini dilaksanakan.

“Saya berpandangan bahawa dalam RUU URA ini, kuasa menteri sangat besar. Walaupun ada Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan, tetapi lebih daripada separuh adalah ahli-ahli yang dipilih oleh para menteri.

“Kuasa-kuasa menteri ini membolehkan mereka memilih pemaju. Saya amat hairan dalam projek-projek kerajaan ini, kita nak memilih pemaju amat sukar. Sekiranya projek-projek kerajaan ini kita memilih pemaju ia perlu melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sebab ia melibatkan duit swasta dan tanah kerajaan.

“Ia akan mengakibatkan permasalahan pada masa hadapan. Dalam RUU ini juga menteri boleh menentukan insentif kepada pemaju. Sudah semestinya kita bimbang akan berlaku ketidakseimbangan ataupun berat sebelah dalam proses pemberian insentif,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Konvensyen PSB di sini, Jumaat.

Tegasnya, akta yang diperuntukkan pada ketika ini dilihat tidak sesuai dan perlu ditambahbaik dengan mengambil kira kepentingan semua pihak terutamanya rakyat.

“Di Pulau Pinang, kami ada flat Kampung Melayu yang diduduki oleh 90 peratus orang Melayu di kawasan yang sangat berpotensi. Apabila dimajukan kelak, saya nak tahu berapa kuota orang Melayu selepas siap?

“Densitinya sekarang boleh capai sehingga lapan ke sepuluh bawah satu ekar. Maksudnya, adakah kuota sebelum dan selepas itu sama kalau kita nak pastikan semuanya stabil, tiada masalah… pastikan kuota Melayu, termasuk bukan Melayu adalah sama sebelum dan selepas.

“Akta yang tersedia di atas meja sekarang ini tidak sesuai dan perlu ditambah baik dan jika diluluskan nanti selepas ditambah baik pun, saya mencadangkan ia diletakkan di bawah Perdana Menteri, bukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO