URA: Ambil Kira Kesejahteraan Rakyat, Bukan Sekadar Fokus Pembangunan Fizikal
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad menyifatkan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB / URA) wajar mengambil kira kesejahteraan rakyat.
Kata beliau pembangunan bandar bukan sekadar soal meroboh dan membina semula bangunan sebaliknya mengambil kira secara menyeluruh.
“Pembangunan bandar tidak hanya bererti bangunan buruk roboh dan buat baharu sebaliknya mesti melibatkan kesejahteraan rakyat.
“Kesejahteraan rakyat yang menyeluruh… kalau kita tengok flat yang ada hari ini tempat letak kereta tidak cukup, hendak masuk lori sampah tak boleh, ambulan tak boleh masuk, bomba belum tentu boleh.
“Kemudahan awam tidak ada seperti bas, tidak ada… sepatutnya itu dulu yang harusnya kita sertakan,” katanya.

Md Alwi berkata demikian ketika mewakili UMNO Zon Timur pada Konvensyen URA yang diadakan di Dewan Tun Hussien Onn Pusat Dagangan Dunia, di sini, Jumaat.
Turut hadir Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU Akta URA, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta kepimpinan lain.
Menurut Md Alwi, cadangan pembangunan bandar baharu yang digariskan dalam URA masih tidak menyentuh secara menyeluruh aspek penting yang menyentuh kehidupan rakyat.
Md Alwi turut menarik perhatian kepada keadaan di Kelantan, khususnya di kawasan pantai timur apabila ketiadaan tempat beriadah.
“Apakah ia (kesejahteraan rakyat) disebut dalam URA ini? Tidak, cadangan pembangunan bandar baru yang disebut dalam URA ini sebenarnya tidak menggariskan perkabaran tersebut.
“Tidak ada definasi yang jelas mengenai kesejahteraan, mengenai pembangunan semula, mengenai kehidupan manusia di situ.
“Kalau di Kelantan tidak ada tempat riadah atau tempat kanak-kanak. Sehinggakan mereka berekreasi (berhampiran) di lapangan terbang,” ujar beliau. – UMNO Online
