UMNO Johor Sokong Pendirian MKT Berhubung RUU URA

JOHOR BAHRU, 4 Okt – UMNO Johor menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menetapkan pendirian jelas berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, keputusan MKT pada 3 Oktober lalu yang menangguhkan pembentangan RUU URA amat wajar demi memastikan rombakan menyeluruh dapat dilakukan dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

“UMNO Johor menyambut baik keputusan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Datuk Mohd Jafni Md Shukor, atas penegasan beliau dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 3 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, UMNO Johor menegaskan empat pendirian utama iaitu:

• Menyokong sepenuhnya keputusan MKT untuk menangguhkan pembentangan RUU URA sehingga rombakan menyeluruh dilakukan dengan mengambil kira pandangan rakyat, pemaju, pakar akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil.

• Komited agar pembangunan semula bandar berpaksikan keadilan sosial, kelestarian alam sekitar dan perlindungan hak rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, agar tidak membebankan rakyat atau hanya menguntungkan pihak pemaju.

• Mempertahankan kuasa negeri supaya dasar yang dilaksanakan seimbang antara kepentingan Persekutuan dan negeri.

• Menyokong pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai wakil rasmi UMNO dalam perundingan rombakan RUU URA, dengan keyakinan beliau akan memastikan suara rakyat serta negeri-negeri, termasuk Johor, diberi perhatian sewajarnya.

Md Israk menegaskan UMNO Johor akan terus bersama kepimpinan parti di bawah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta kepimpinan negeri Johor di bawah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“UMNO Johor komited memastikan dasar pembangunan bandar benar-benar membawa kesejahteraan rakyat dan menjamin masa depan yang lebih inklusif, progresif serta adil,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO