Konvensyen URA: UMNO Tidak Menentang Pembangunan

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Wakil UMNO Zon Tengah, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican menegaskan bahawa UMNO tidak menentang pembangunan tetapi kurang bersetuju dengan kandungan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ataupun URA yang sedia ada.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang berkata, RUU URA begitu jauh terpisah dengan akta-akta yang telah diwujudkan sebelum ini.

“Kita nak tegaskan bahawa kita tidak menentang pembangunan. Ini pendirian kita. Mana mungkin UMNO/BN yang menjadi pemacu pembangunan negara selama lebih 68 tahun, kita nak bantah pembangunan?

“Kita menyokong pembangunan tetapi yang kita tidak berapa setuju ialah kandungan yang ada dalam Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar ataupun URA seperti yang ada pada hari ini.

“RUU ini begitu jauh terpisah dengan satu akta yang diwujudkan pada tahun 1976 iaitu Akta Pembangunan Bandar dan Desa. Ia juga terpisah daripada Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Konvensyen PSB di sini, Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau turut memberi cadangan supaya RUU tersebut diperkenalkan dalam bentuk Akta Pembangunan Perancangan Bandar dan Desa (Perbaharuan Semula Bandar) 2025.

“Akta ini cuba berdiri secara sendiri dengan memberi kuasa kepada mereka yang diberi kuasa di bawah RUU ini. Ia tidak mempedulikan akta yang telah diperkenalkan pada tahun 1976.

“Kalau kita lihat RUU ini cuma dua rujukan yang dibuat. Satu dalam seksyen 3 yang mengatakan bahawa RUU ini hendak dibaca bersama undang-undang bertulis berhubung perancangan bandar dan desa, tanah, perumahan serta kerajaan tempatan.

“Saya berpendirian RUU seperti ini kita patut tolak dahulu dan sepatutnya saranan saya RUU ini diperkenalkan dalam bentuk Akta Pembangunan Perancangan Bandar dan Desa (Perbaharuan Semula Bandar) 2025.

“Ia menjadi akta kecil di bawah. Akta pokoknya mesti Akta Pembangunan Perancangan Bandar dan Desa. Saya mencadangkan kita menolak URA dalam bentuk RUU sedia ada,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO