Ahli PPBM Keluar Parti: Tamparan Hebat Buat Ahli Parlimen Masjid Tanah – Haryaty
KOTA MELAKA, 4 Okt – Ketua Penerangan Wanita UMNO Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata tindakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Masjid Tanah yang keluar parti merupakan satu tamparan yang cukup hebat buat ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang kini berhadapan dengan parti retak menanti belah.
Katanya, seramai 101 ahli akar umbi membuat keputusan tersebut atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu yang disifatkan gagal membela nasib rakyat serta tidak konsisten dalam memperjuangkan isu masyarakat setempat.
“Tiada angin, tiada ribut, seramai 101 Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia Masjid Tanah telah keluar parti baru-baru ini. Ia juga merupakan pengajaran besar kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang pernah meninggalkan pejuangan ketika UMNO tidak lagi di tampuk kuasa.
“Tahniah atas tindakan berani 101 orang bekas ahli PPBM Masjid Tanah ini yang telah sedar nilai perjuangan parti ini. Tindakan keluar parti secara serentak ini boleh dibingkai sebagai hasil kepimpinan berkesan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Masjid Tanah.
“Bersama ketika beliau senang, lari ketika kalah. Peristiwa ini kekal pahit buat setiap ahli Puteri UMNO dan mantan yang bersama beliau ketika awal hingga habis usia dalam Puteri UMNO,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut Haryaty yang juga mantan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka menjelaskan perkembangan positif ini juga memberi momentum baharu menjelang pilihan raya akan datang, dengan menjadikan Masjid Tanah kembali sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Ia sekali gus mengangkat kredibiliti dan kepimpinan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah yang sentiasa berusaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO/BN Melaka.
“Buat ahli PPBM Masjid Tanah atau mana-mana Parlimen dalam Melaka, apa tunggu lagi… ‘bongkauu’ jer ler,” ujarnya. – UMNO Online
