RUU URA Tidak Boleh Ketepi Kuasa Negeri Dan PBT – Mohd Jafni
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor meluahkan kebimbangan terhadap peruntukan dalam Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dilihat memberi kesan kepada kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan negeri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai berkata ini kerana RUU tersebut memberi kuasa kepada Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan untuk meluluskan laporan projek.

“Dengan RUU ini, Pihak Berkuasa Negeri dan PBT dilihat tunduk kepada Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dalam laporan projek, pemilihan pemaju dan pengisytiharan kawasan.
“Ini menjejaskan prinsip akauntabiliti tempatan kerana PBT yang sudahpun bertanggungjawab kepada rakyat dan Kerajaan Negeri, dan PBT tidak memerlukan kebenaran pihak luar.
“PBT mesti kekal sebagai teras pelaksanaan di bawah kuasa Negeri, manakala Persekutuan berperanan sebagai pemberi sokongan teknikal, dana dan perkongsian amalan terbaik. Dasar pembaharuan semula bandar mesti berasaskan pendekatan bottom-up bukan top-down,” katanya.
Mohd Jafni berkata demikian ketika mewakili UMNO Zon Selatan pada Konvensyen URA yang diadakan di Dewan Tun Hussien Onn Pusat Dagangan Dunia, hari ini.
Turut hadir Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU Akta URA, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta kepimpinan lain.
Mengulas lanjut Mohd Jafni percaya bahawa untuk menjayakan sesuatu pembangunan, kuasa peringkat negeri dan PBT mesti dihormati dalam menentukan keutamaan pembangunan dan kebajikan masyarakat setempat.
Beliau juga secara tegas berkata pembangunan itu tidak boleh bersifat membuta tulis dan bersifat menguntungkan sebelah pihak sahaja
“Pihak kerajaan negeri dan PBT jauh lebih memahami keperluan setempat berbanding arahan pusat yang bersifat umum. Justeru, kita menolak dominasi Persekutuan melalui RUU ini.
“Jika perkara ini tidak dilihat dan dikaji semula, maka ia akan kekal dominasi persekutuan.
“Kita dan tidak boleh mengetepikan suara rakyat yang menjadi tuan sebenar kepada tanah air ini. Kita bukan menolak pembangunan, tetapi kita menuntut pembangunan yang adil, seimbang dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online
