Konvensyen URA: UMNO Tegas Pastikan Pembangunan Bandar Berpaksikan Keadilan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO komited memastikan pembangunan semula bandar melalui inisiatif Urban Renewal Authority (URA) berpaksikan prinsip keadilan sosial serta tidak menekan penduduk asal.

Menurut beliau, Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang berlangsung hari ini merupakan platform penting anjuran UMNO untuk menghimpunkan suara rakyat, pakar, aktivis masyarakat dan penduduk bandar dalam meneliti implikasi pembangunan semula terhadap masa depan komuniti bandar, khususnya masyarakat Melayu bandar.

“UMNO sentiasa mendengar keresahan rakyat, terutama berkaitan isu harga rumah, kos sara hidup, risiko pengusiran halus serta kebimbangan terhadap masa depan kampung tradisi dan tanah rizab Melayu. Konvensyen ini adalah bukti kesungguhan UMNO untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat agar pembangunan bandar berlaku dengan adil,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan terlibat, khususnya 11 orang pembahas daripada pelbagai sektor, selain peserta yang mengemukakan pandangan serta soalan bernas sepanjang konvensyen.

Beliau menegaskan bahawa UMNO akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat dan benteng perjuangan bangsa.

“Insya-Allah, apa jua dasar dan undang-undang yang menyentuh kehidupan rakyat akan diteliti dengan penuh tanggungjawab. UMNO akan memastikan pembangunan negara sentiasa berpaksikan keadilan dan kesejahteraan bersama,” tambahnya lagi.

Konvensyen ini menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar bagi membolehkan kajian semula menyeluruh dilaksanakan kerana berpendapat draf RUU berkenaan mengandungi banyak kelemahan yang boleh menjejaskan hak pemilik hartanah serta membuka ruang kepada eksploitasi pemaju. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO