Konvensyen URA: UMNO Sentiasa Komited Cari Penyelesaian Untuk Rakyat, Negara

KUALA LUMPUR, 3 Okt – UMNO Sentiasa komited mencari penyelesaian terhadap segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat, kata Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Akta URA, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bercakap di Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA), beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, peratusan urbanisasi negara akan terus meningkat seiring dengan peredaran zaman.

“Sejak kemerdekaan negara selama 68 tahun, kawasan-kawasan bandar di negara ini telah lalui proses pembangunan pesat selari peredaran zaman dan dunia. Untuk perbandingan urbanisasi, pada tahun 1999 ia berada pada tahap 28.4 peratus. Namun menurut data perangkaan Malaysia, angka telah meningkat ke 78 peratus pada 2023 dan dijangka terus meningkat masa akan datang.

“Ini adalah satu lonjakan besar apabila berlaku penghijrahan masyarakat luar bandar ke bandar. Proses ini mewujudkan keperluan mendesak untuk membangunkan semula kawasan bandar bagi menampung kepadatan terutama apabila bangunan-bangunan yang telah didirikan berpuluh tahun lamanya. Ia telah melewati usia, usang dan tidak berdaya huni.

“Walaubagaimana pun proses ini tak boleh dilaksanakan secara semberono. Ia mesti satu usaha terancang berasas keperluan dan diterajui inisiatif yang bukan hanya sebagai inisiatif kerajaan selain daripada pemaju,” katanya.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, peristiwa pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang berlaku baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran pada masa akan datang.

“RUU ini telah menerima banyak pandangan, kritikan dankeluhan daripada rakyat. Setiap daripadanya ada asas dan meritnya terutama daripada penghuni di kawasan berpotensi untuk bangunkan semula. Suasana di kawasan penempatan yang dahulunya aman kini menjadi tegang apabila ada perbezaan pendapat.”

Ujarnya, kerap berlaku konflik di antara penduduk yang bersetuju dan tidak untuk pembangunan semula.

“Keresahan ini berpunca daripada persepsi bahawa projek pembangunan semula bermotifkan keuntungan pihak pemaju dan bukan berorientasikan penduduk asal serta tidak mempedulikan kesusahan rakyat kerana perlu berpindah sementara.

“Sejarah hitam isu pembangunan semula di Kampung Sungai Baru wajar dijadikan pengajaran utama. Projek itu diambil alih pemaju swasta dan ia tidak mementingkan hak penduduk asal, adat resam dan budaya kawasan tersebut. Begitu juga yang berlaku di flat Pekeliling yang telah 15 tahun dan sehingga hari ini 220 pemilik rumah masih tidak nampak projek bermula. Ia mengambil masa terlalu lama.

“Projek belum dilaksana, pampasan masih sama macam lapan tahun lalu. Ini berlaku kerana tiada akta spesifik. Apa yang berlaku ini adalah satu isyarat jelas jika URA tidak diteliti dengan cermat, tragedi sama akan berulang di kawasan-kawasan lain di seluruh negara,” katanya lagi.

Ujarnya, setiap kawasan bandar mempunyai ciri-ciri tersendiri dan sebarang pelan pembangunan semula perlu diperinci mengikut acuannya.

“Begitu juga kawasan komersial dalam bandar yang tidak disiapkan seperti Plaza Rakyat. Berpuluh tahun terbengkalai. Kita juga ada projek-projek komersial seperti hotel. Sudah 30 tahun terbengkalai sedangkan ia berada di tengah kota. Projek-projek terbengkalai ini jejaskan keindahan di negara kita.

“Kita perlu faham setiap kawasan bandar ada ciri-ciri unik dan tidak boleh dipukul rata. Seperti kita tahu kehidupan di rumah flat, kondominium… ada keunikan sendiri termasuk jenis-jenis penempatan seperti kos rendah, sederhana dan tinggi. Oleh itu, sebarang pelan mesti dilihat secara terperinci ikut jenis rumah dan juga domografi penduduk.

“Terlalu kerap akta pengambilan tanah disalah guna untuk kepentingan pemaju. Kita tiada masalah untuk diguna akta itu demi kepentingan awam. Jika ia dipakai oleh pemaju untuk keuntungan, inilah yang perlu kita jaga. Kita kena lihat sepuluh akta sedia ada ini sesuai ataupun tidak. Jika tidak, bagaimana kita akan mengeluarkan akta baharu untuk jaga kepentingan masyarakat akan datang.

“Menyedari segala kebimbangan ini, konvensyen ini diilhamkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kita telah berdepan pelbagai krisis. Namun setiap masalah mesti kita cari penyelesaian untuk rakyat dan negara. Kestabilan politik adalah paling utama. Saya harap konvensyen ini bakal rungkai persoalan rakyat, agar kita dapat bergerak ke hadapan untuk bangunkan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO