Konvensyen URA Lancar, Resolusi Diserahkan Kepada Presiden UMNO
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar yang berlangsung di ibu negara hari ini menyaksikan suasana penuh tumpuan apabila para peserta, wakil masyarakat dan pakar bandar hadir memberikan pandangan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar.
Ketua Pasukan Khas UMNO bagi Penambahbaikan RUU berkenaan, Datuk Johari Abdul Ghani, mengetuai sesi perbincangan resolusi, manakala kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerikan lagi majlis berkenaan.
Pada konvensyen itu, resolusi rasmi yang mengandungi 14 cadangan penambahbaikan telah diserahkan secara simbolik kepada Ahmad Zahid sebagai tanda komitmen bersama dalam memastikan RUU yang digubal kelak benar-benar melindungi hak pemilik hartanah serta memberi manfaat kepada rakyat.
Orang ramai yang hadir turut diberi ruang menyampaikan pandangan, cadangan dan kebimbangan mereka mengenai isu pembangunan semula bandar, khususnya berkaitan kediaman usang dan projek terbengkalai yang memerlukan penyelesaian segera.

Konvensyen yang diadakan di Dewan Tun Hussein berlangsung dengan tertib, namun penuh bersemangat apabila peserta menekankan pentingnya keseimbangan antara pembangunan moden dengan perlindungan hak komuniti sedia ada.
Semoga perjuangan UMNO khususnya dalam membela nasib rakyat khususnya masyarakat Melayu terus menyala dan subur seiring dengan cogankata parti bersatu, bersetia dan berkhidmat. – UMNO Online
