Wanita Sabah Realitikan Politik Matang, Bersatu Demi Perkasa Wanita – Noraini Idris
KOTA KINABALU, 2 Okt – Wanita UMNO/ Barisan Nasional (BN) Sabah membuktikan bahawa perbezaan ideologi bukan penghalang untuk bersatu memperjuangkan kepentingan bersama apabila satu pertemuan bersejarah, pemimpin wanita daripada pelbagai parti politik tampil mengangkat misi memperkasakan wanita sebagai agenda utama negeri dan negara.
Pengerusi Wanita BN Sabah, Datuk Noraini Idris yang juga Ketua Wanita UMNO Sabah menegaskan, perjuangan wanita perlu melangkaui sempadan politik kerana cita-cita mereka tetap sama iaitu memperkukuh suara wanita, memperluas ruang kepimpinan dan mengangkat maruah wanita demi masa depan Sabah serta Malaysia yang lebih gemilang.

Terdahulu beliau bersama dalam satu pertemuan yang menghimpunkan pemimpin pelbagai parti, termasuk G5 Wanita UMNO Negeri, Ketua Wanita PBRS Datin Zainon Khan; Timbalan Ketua Wanita MIC, Ketua Wanita Pakatan Harapan Sabah, YB Datuk Jannie Lasimbang; Ketua Wanita DAP Sabah, Ketua Wanita PKR Sabah, serta Ketua Wanita Amanah.
Menurut Noraini, walaupun berbeza jalur politik, cita-cita wanita adalah sama iaitu menggali potensi, memperluas ruang kepimpinan, serta mengangkat maruah wanita demi masa depan Sabah dan Malaysia yang lebih gemilang.
“Sebagai wanita, apa pun jalur politik yang kita pilih, misi kita tetap sama iaitu memperkasakan wanita. Ideologi mungkin berbeza, namun cita-cita kita bersatu memastikan suara wanita terus didengari.
“Inilah wajah politik matang iaitu berani duduk semeja, saling menghormati, dan mengangkat maruah wanita,” katanya kepada UMNO Online.
Pertemuan tersebut disifatkan sebagai langkah penting dalam membina solidariti rentas parti politik bagi memperkukuh suara wanita di pentas negeri dan nasional. – UMNO Online
