Veteran UMNO Gesa Kerajaan Tekan Israel, Kutuk Penahanan Sukarelawan Sumud Flotilla

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Veteran UMNO Malaysia mengecam keras tindakan Israel yang menahan sukarelawan antarabangsa khususnya rakyat Malaysia yang menyertai misi Sumud Flotilla bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan Israel itu merupakan satu perbuatan jenayah antarabangsa kerana menyasarkan sukarelawan yang tidak membawa sebarang ancaman, sebaliknya hadir atas dasar kemanusiaan untuk membantu rakyat Gaza yang dikepung dan disekat laluan bantuan melalui jalan darat.

“Mereka bukan kumpulan bersenjata yang cuba memasuki Gaza untuk membantu Hamas menyerang Israel. Mereka adalah sukarelawan yang ikhlas mahu menyalurkan bantuan kepada penduduk yang menderita akibat sekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, ujarnya, Veteran UMNO mendesak kerajaan Malaysia supaya berusaha membebaskan mereka secepat mungkin melalui saluran diplomatik, terutamanya dengan Amerika Syarikat sebagai sekutu kuat Israel.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia masih mempunyai ruang diplomatik dengan kuasa besar dunia seperti British, Perancis, Jerman dan negara sekutu lain untuk memberi tekanan berterusan kepada Israel.

Dalam masa sama, beliau juga UMNO merayu kepada semua keluarga sukarelawan terbabit agar terus bersabar serta berdoa supaya mereka segera dibebaskan dan pulang dengan selamat.

“Veteran UMNO juga menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama supaya sama-sama memanjatkan doa demi keselamatan sukarelawan kita yang kini masih ditahan Israel,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO