Tindakan Israel Pintas GSF Disifatkan Luar Batas Kemanusiaan – Noraini
KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan tindakan Israel memintas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai luar batas kemanusiaan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan ia mencerminkan keangkuhan rejim Zionis yang bukan sahaja mengetepikan nilai-nilai kemanusiaan sejagat, malah memperlekehkan solidariti masyarakat antarabangsa yang berusaha menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza yang tertindas.
“Wanita UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang menghalang dan mengganggu misi kemanusiaan GSF, sebuah misi yang membawa sukarelawan tidak bersenjata bersama bekalan bantuan untuk rakyat Gaza.
“Tindakan di luar batas kemanusiaan sejagat ini bukan sahaja menafikan hak rakyat Palestin yang sedang menderita di bawah sekatan, malah menghina suara keprihatinan dunia,” katanya menerusi satu kenyataan.
Noraini turut menegaskan bahawa Wanita UMNO Malaysia berdiri teguh bersama Kerajaan Malaysia dalam mendesak agar Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa dan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku.
Menurutnya, keselamatan para sukarelawan termasuk warganegara Malaysia yang terlibat dalam misi GSF mesti menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Selagi rakyat Palestin terus dinafikan hak asasi dan kebebasan mereka, Wanita UMNO akan kekal beristiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin, menuntut keadilan dan mengangkat solidariti kemanusiaan,” tegasnya.
GSF merupakan konvoi bantuan terbesar ke Gaza sejak Oktober 2023, melibatkan lebih 300 aktivis dari 44 negara.
Penganjur menyatakan bahawa misi ini bertujuan menyalurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat Gaza yang berdepan kebuluran akibat sekatan berpanjangan. – UMNO Online
