Solidariti Terhadap Sukarelawan Global Sumud Flotilla – Wan Rosdy
KUANTAN, 2 Okt – Kerajaan Negeri Pahang menzahirkan solidariti penuh terhadap semua sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh tentera rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Menteri Besar Pahangnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO dalam kenyataan berkata, beliau merakamkan rasa dukacita dan keprihatinan mendalam terhadap nasib yang menimpa para sukarelawan berkenaan.

Menurutnya, para sukarelawan terbabit membawa semangat keberanian serta keikhlasan yang tinggi demi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang telah sekian lama hidup dalam penderitaan akibat penindasan rejim Zionis.
“Tindakan rejim Israel ini jelas merupakan satu kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia, apatah lagi terhadap mereka yang hadir dengan niat murni untuk membantu insan yang sedang sengsara.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, saya menyatakan solidariti penuh terhadap semua sukarelawan yang ditahan. Kerajaan Negeri juga berdoa agar mereka selamat, dilindungi daripada sebarang bahaya, serta segera dibebaskan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Wan Rosdy menegaskan, Kerajaan Negeri Pahang turut bersama Kerajaan Persekutuan dalam mendesak rejim Israel supaya segera membebaskan semua sukarelawan Global Sumud Flotilla tanpa sebarang syarat.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan sokongan serta penglibatan seluruh rakyat Pahang untuk bersama menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin dengan menyertai Himpunan Sumud Flotilla yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober 2025 (Jumaat) di perkarangan parkir Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan selepas solat Jumaat.
“Himpunan ini adalah lambang solidariti rakyat Pahang terhadap rakyat Palestin serta tanda sokongan kita kepada semua sukarelawan yang berani menyertai misi kemanusiaan ini,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Pahang sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan menuntut kebebasan, maruah dan hak mereka yang telah lama dinafikan oleh rejim Zionis.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri Pahang konsisten dalam menyokong sebarang usaha kemanusiaan yang menjurus kepada keamanan berkekalan di bumi Palestin dan akan terus bersama-sama rakyat Malaysia dalam menyuarakan penentangan terhadap kezaliman Israel. – UMNO Online
