Puteri UMNO Kecam Tindakan Israel, Desak Pembebasan Sukarelawan Malaysia
KUALA LUMPUR, 2 Okt – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang menahan 12 sukarelawan Malaysia termasuk aktivis muda dan figura seni tanah air, Zizi Kirana serta Farah Lee, ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, keberanian sukarelawan tersebut merupakan lambang jiwa generasi muda Malaysia yang rela berada di barisan hadapan demi menegakkan kemanusiaan.

“Mereka tidak membawa senjata, sebaliknya membawa makanan, ubat-ubatan dan doa. Inilah jihad kemanusiaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, penahanan itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah mencabuli hak asasi manusia yang paling asas iaitu hak untuk hidup serta menerima bantuan ketika krisis.
Sehubungan itu, Puteri UMNO mendesak kerajaan Malaysia memperhebat usaha diplomatik di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menuntut pembebasan tanpa syarat semua sukarelawan Malaysia.
“Israel harus dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang laut antarabangsa dan pencabulan hak rakyat Palestin menerima bantuan,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa khususnya golongan wanita dan generasi muda agar bersatu menolak tindakan zalim tersebut dan menuntut laluan bebas bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Sebagai pemimpin politik wanita muda, kami percaya bahawa kemanusiaan adalah perjuangan lintas generasi. Hari ini, anak muda Malaysia membuktikan jihad bukan hanya dengan senjata, tetapi dengan keberanian menegakkan hak dan melawan kezaliman.”
Beliau juga menegaskan, Puteri UMNO akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kezaliman kerana kemanusiaan adalah hak semua. – UMNO Online
