Pemuda UMNO Gesa Siasatan Antarabangsa, Siasat Penahanan Kapal GSF

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa satu siasatan antarabangsa bebas ditubuhkan segera bagi menyiasat tindakan Israel memintas kapal-kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh juga menyeru Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) agar menyiasat tindakan Israel tersebut sebagai kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan Tentera Pertahanan Israel (IDF) yang telah memintas serta menahan GSF, termasuk warganegara Malaysia dan aktivis antarabangsa, di perairan antarabangsa.

“Menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku serta memperlihatkan sikap angkuh yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan nilai kemanusiaan sejagat.

⁠”Sama-sama kita panjatkan doa kepada kesemua aktivis termasuk 13 orang dari Malaysia, yang mana lapan daripadanya telah ditahan oleh IDF, agar mereka tidak diapa-apakan dan dapat segera dibebaskan. Kegagalan untuk segera respon menyelamat, adalah tanda kegagalan dan tunduk terhadap tindakan rejim Zionis ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata tindakan oleh IDF itu jelas merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa di bawah Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS, 1982).

Katanya undang-undang tersebut menetapkan bahawa semua kapal awam di laut lepas mempunyai hak kebebasan belayar dan tidak boleh diganggu atau dirampas kecuali dalam keadaan tertentu seperti lanun, penyeludupan dadah atau jika kapal tidak berdaftar.

“Flotila ini adalah kapal sah dengan misi kemanusiaan, justeru tindakan Israel memintas di perairan antarabangsa adalah tidak sah.

“Selain itu, tindakan menghalang bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik juga bercanggah dengan Konvensyen Geneva 1949 serta Protokol Tambahan I (1977), yang secara jelas menetapkan bahawa semua pihak wajib membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang memerlukan tanpa sebarang halangan.

“Oleh itu, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia segera mengeluarkan bantahan rasmi terhadap Israel melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan antarabangsa yang relevan, serta menggerakkan usaha diplomatik mendesak bagi menjamin keselamatan, pembebasan segera dan kepulangan selamat warganegara Malaysia yang ditahan.

Seramai 13 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Komunikasi dan Koordinasi Selat (SNCC) selepas lima buah kapal yang dinaiki mereka dipercayai telah dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa.

Konvoi berkenaan membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas ke Gaza sebagai sebahagian daripada konvoi antarabangsa yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara.

Menurut laporan media Israel, kapal-kapal seperti Alma, Sirius, dan Adara telah dinaiki secara paksa oleh tentera laut Israel. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO