Konvensyen URA Perkukuh Peranan UMNO Perkasa Komuniti Melayu Bandar

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Zaidi Md Zain mengharapkan agar Konvensyen Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) atau URA dapat memperkukuh peranan UMNO dalam memperkasa komuniti Melayu Bandar.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, Rang Undang-Undang (RUU) URA sebeanrnya berpotensi untuk menjadi pemangkin pembangunan bandar yang inklusif jika kepentingan orang Melayu tidak dipinggirkan.

“RUU URA yang dicadangkan ini sebenarnya berpotensi menjadi pemangkin pembangunan bandar yang inklusif jika dilaksanakan dengan kepekaan terhadap kepentingan orang Melayu dan juga menjaga keharmonian nasional.

“Kunci kejayaannya ialah perancangan telus dan pelaksanaan yang berintegriti. Tidak boleh ada sebarang peruntukan yang bersifat autokrasi secara langsung atau tidak langsung yang boleh menimbulkan keresahan dan persepsi yang tidak adil di kalangan rakyat.

“Oleh itu, perbincangan mengenai peruntukan-peruntukan di dalam RUU URA seharusnya melibatkan pandangan yang menyeluruh daripada komuniti Melayu Bandar, para profesional dan badan-badan bukan kerajaan (NGO-NGO) yang memperjuangkan agenda Melayu melalui mekanisme perbincangan awam seperti konvensyen yang dianjurkan oleh UMNO pada 3 Oktober nanti,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, UMNO tidak perlu menzahirkan penentangan yang bersifat retorik kerana rakyat pada hari ini sudah bijak menilai parti mana yang ikhlas dan realistik dalam menangani kemelut.

“Pandangan-pandangan rencam yang dikumpulkan nanti akan menjadi intipati kepada RUU URA, membolehkan semua pihak menerima akta ini dengan baik.

“Saya mengharapkan bahawa konvensyen ini akan memperkukuh peranan UMNO dalam memperkasakan komuniti Melayu bandar yang terhimpit oleh kepesatan pembangunan, selaras dengan mandat asal penubuhan UMNO untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini.

“Kita tidak perlu kepada penentangan yang bersifat retorik seperti mengadakan demonstrasi jalanan atau melakukan kekerasan. Rakyat pada hari ini sudah bijak menilai parti mana sebenarnya yang lebih ikhlas dan realistik dalam menangani kemelut dan permasalahan dihadapi oleh mereka,” katanya lagi.

Pada 23 September media melaporkan Konvensyen Melayu Bandar yang akan mengkhususkan kepada perbincangan mengenai Akta PSB atau URA bakal dianjurkan pada 3 Oktober ini.

Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU Akta URA, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, konvensyen tersebut membuka peluang kepada masyarakat untuk memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan.

Pada 28 Ogos lalu, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU PSB atau URA ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.

RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming, sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO