Ketua Menteri Melaka Kecam Tindakan Israel, Seru Jaminan Keselamatan Peserta GSF
MELAKA, 2 Okt – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengecam keras tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap konvoi Global Sumud Flotilla yang dilaporkan dipintas ketika dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza.
Beliau berkata insiden yang membahayakan keselamatan peserta dan kru misi tersebut adalah satu pencabulan hak kemanusiaan antarabangsa dan menimbulkan kebimbangan besar.

“Atas kapasiti dan suara rakyat Melaka serta suara kemanusiaan Malaysia, saya mengecam tindakan ini dan menyeru kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah segera,” katanya dalam hantaran di laman Fadebooknya.
Ab Rauf menggariskan empat tuntutan utama:
1. Mengutamakan perlindungan dan keselamatan warganegara Malaysia yang terlibat serta memastikan maklumat keselamatan dan konsular disalurkan segera.
2. Melaksanakan pendesakan diplomatik dengan memohon jaminan keselamatan daripada pihak berkenaan serta menggunakan saluran antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan rakan diplomatik.
3. Menuntut siasatan antarabangsa terhadap sebarang tindakan yang mengancam misi kemanusiaan aman, termasuk menegaskan hak asasi serta perlindungan warga awam dan sukarelawan.
4. Menyuarakan sokongan moral dan doa daripada rakyat Melaka, Malaysia serta dunia, selain memobilisasi bantuan kemanusiaan alternatif yang sah untuk Gaza.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Melaka agar sama-sama berdoa supaya Allah SWT melindungi setiap pejuang kemanusiaan serta memberi keselamatan kepada mereka dan penduduk Gaza.
“Kita berdiri teguh menuntut jaminan keselamatan, suara kita mesti kedengaran di pentas antarabangsa supaya misi kemanusiaan diberi ruang dan perlindungan,” tegasnya. – UMNO Online
