WTD/WTC Melaka Bukti Kejayaan Strategik, Bukan Kegagalan – Haryati

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kejayaan penganjuran World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) di Melaka adalah pencapaian strategik dan bukannya kegagalan seperti didakwa oleh  pihak pembangkang.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryati Hamdzah berkata, mengkritik bagus, namun biarlah kritikan yang membawa kebaikan untuk negeri Melaka.

Menurut beliau bak kata pepatah jika dilihat dari mata lalat, kritikan berkenaan nampaklah kegagalan, tetapi  jika dilihat dari mata lebah, mesti ada kebaikan.

“Sebagai rakyat Melaka saya rasa amat berbangga dengan kejayaan penganjuran ini. Tahniah dan syabas kepada  Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka yang menunjukkan kepimpinan luar biasa bersama seluruh jentera kerajaan negeri.

“Dengan perancangan rapi, acara ini berlangsung cukup gemilang, gah dan bertaraf dunia – ianya satu bukti kemampuan Melaka menganjurkan program berskala antarabangsa,” katanya kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi  WTD/WTC  telah mencapai beberapa kejayaan antara lainnya pengiktirafan antarabangsa apabila Melaka dipilih oleh UN Tourism sebagai hos rasmi WTD/WTC bertema “Tourism & Sustainable Transformation”.

Tambahnya ini adalah pengiktirafan besar terhadap keupayaan Melaka dan Malaysia menjadi tuan rumah acara pelancongan dunia.

“Kehadiran Delegasi Berkualiti  dengan kehadiran 14 menteri/timbalan menteri dan lebih 120 delegasi antarabangsa bukanlah angka yang kecil dan bukan menggambarkan kegagalan.

“Kehadiran delegasi mewakili pembuat dasar, pakar, organisasi antarabangsa dan media global yang memberi impak berpanjangan kepada Melaka dan Malaysia.  Liputan media global dan promosi sempena WTD/WTC memperkukuh jenama Melaka menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

“Impak Ekonomi buat Melaka. Sehingga Oktober 2025, Melaka telah menerima 11.25 juta pelancong dengan hasil pelancongan RM12.05 bilion. Manakala, isu berkenaan Kos penganjuran sekitar RM10 juta adalah pelaburan strategik yang memberi pulangan lebih besar dalam bentuk promosi antarabangsa, peluang pelaburan, projek inovatif dan rangkaian industri,” ujarnya.

Dalam pada itu Haryati yang juga Ketua Wanita UMNO Kota Melaka  turut melontarkan beberapa soalan untuk Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermiyanti Shamsudin.

“Apakah pencapaian yang boleh dibanggakan beliau selaku  Ahli Parlimen Masjid Tanah, ketika menjadi Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia 2015–2018 khusus untuk Melaka?

“Apakah sumbangan beliau dalam mengantarabangsakan Melaka?  Malah pembangunan tempat pelancongan dalam kawasan beliau sendiri seperti Rivercruise Linggi di Masjid Tanah pun dipacu secara aggresif dibawah pentadbiran Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh , Ketua Menteri sekarang.  Menepuk air, jangan sampai terpercik muka sendiri, YB,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO