Konvensyen URA: UMNO Pikul Tanggungjawab Demi Orang Melayu Bandar

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii memaklumkan UMNO telus dalam membawa perjuangan nasib Melayu bandar.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata tindakan dilakukan oleh kepimpinan parti adalah atas kesedaran tanggungjawab.

“Bukan tujuan UMNO untuk menutup suara mereka yang mempertikaikan ketelusan kita dalam mendepani cabaran Melayu di bandar.

“Bukan juga niat UMNO untuk hanya menjaga kepentingan cawangan-cawangan semata-mata. Bahkan UMNO lakukan ini bukan kerana terpaksa.

“Hakikatnya, kita sedar bahawa ini hanyalah sebahagian kecil daripada ratusan malah ribuan tanggungjawab yang perlu kita pikul demi memastikan nasib orang Melayu di bandar terus terbela.”

Mohd Razlan dalam pada itu turut sama mempelawa mana-mana pihak untuk bersama menghadirkan diri pada Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal diadakan pada Jumaat ini.

“Sehubungan itu, bagi pihak UMNO, saya menjemput semua pihak; sama ada mewakili suara Melayu di bandar untuk bersama hadir ke Konvensyen URA,” ujar beliau.

Konvensyen yang akan berlangsung pada 3 Oktober ini dianjurkan hasil inisiatif UMNO, ia diadakan dengan bertujuan untuk membuka peluang kepada masyarakat bagi memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan.

Konvensyen ini akan dimulakan pada jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO