IPTA: Zambry Umum Peruntukan RM2,000 Kepada Persatuan Pelajar OKU, Orang Asli

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengumumkan peruntukan sebanyak RM2,000 kepada setiap Persatuan Pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Orang Asli di seluruh Insititusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan hampir 4,000 pelajar baharu telah hadir ke Program ‘In Person with Doc Zam’ pada Selasa.

“Program ‘In Person with Doc Zam’ di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kali ini cukup istimewa dan bersejarah. Hampir 4,000 pelajar baharu sesi 2025/2026 bersama 150 mahasiswa inklusif melibatkan pelbagai kategori termasuk OKU dan Orang Asli dari 13 universiti awam telah hadir ke sesi ini.

“Lebih bermakna, program ini dihoskan oleh Sukur Ibrahim, seorang tokoh inspirasi yang dikenali dengan kepetahan berbicara dan terlibat aktif dalam masyarakat.

“Bagi saya sendiri, hadir ke UIA ibarat ‘sirih pulang ke gagang’. Ia menggamit nostalgia lebih tiga dekad lalu sebagai ‘abang’ batch pertama UIA. Saya berkongsi perjalanan hidup sebagai anak nelayan yang dahulunya tidak pernah memasang impian besar, namun dengan izin Allah SWT diberikan ruang dan amanah untuk sampai ke tahap hari ini,” katanya.

Ujarnya, beliau turut menekankan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memastikan pendidikan tinggi yang inklusif dan lestari dengan prinsip ‘No One Left Behind’.

“Sesi kali ini lebih segar dengan banyak soalan, pandangan dan maklum balas daripada pelbagai kumpulan pelajar termasuk mahasiswa inklusif. Ini mencerminkan keberanian, keterampilan dan kepimpinan mahasiswa yang ingin kita bentuk sejak awal pengajian mereka.

“Saya tekankan bahawa KPT komited memastikan pendidikan tinggi yang inklusif dan lestari. Prinsip ‘No One Left Behind’ menjadi pegangan kita iaitu semua rakyat berhak mendapat akses pendidikan tanpa mengira status dan keupayaan.

“Sebagai sokongan, saya mengumumkan peruntukan RM2,000 kepada setiap Persatuan Pelajar OKU dan Persatuan Pelajar Orang Asli di IPTA seluruh negara. Pada masa yang sama, saya meminta semua universiti memastikan fasiliti untuk pelajar OKU disediakan dan diselaraskan dengan baik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menitipkan pesan kepada para mahasiswa untuk menggunakan ruang universiti dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Pesan saya kepada mahasiswa: Belajarlah bersungguh-sungguh, gunakan ruang universiti untuk menggali pengalaman dan ilmu. Tidak semua orang berpeluang berada di sini. Tamat pengajian nanti, kembalilah menyumbang kepada keluarga, masyarakat, dan negara.

“Terima kasih kepada Profesor Emeritus Dato Dr Osman Bakar, Rektor UIA, Profesor Ruzita Mohd Amin dan semua team UIA.

“Sesi In Person with Doc Zam seterusnya akan berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2 Oktober 2025, jam 10.00 pagi. Jumpa anda di sana, Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO