Ahmad Zahid Hadir Majlis Ulang Tahun ke-40 OCIS, Doa Kecemerlangan Institusi Ilmu Islam

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati menghadiri Majlis Santapan Istimewa sempena meraikan Ulang Tahun ke-40 Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) yang berlangsung di ibu negara, malam tadi.

Beliau yang juga Presiden UMNO menzahirkan harapan agar OCIS terus melakar kecemerlangan sebagai sebuah institusi ilmu yang berwibawa.

“Mendoakan semoga OCIS terus cemerlang sebagai institusi ilmu yang mengangkat martabat Islam di persada dunia. Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kehadiran Ahmad Zahid atas undangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ahmad Zahid turut sama mendoakan agar Sultan Nazrin sentiasa dikurniakan kesejahteraan, kesihatan dan keberkatan yang berpanjangan oleh Allah SWT.

“Memenuhi undangan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah ke Majlis Santapan Istimewa sempena meraikan Ulang Tahun ke-40 OCIS.

“Menjunjung kasih Tuanku atas undangan yang penuh makna ini.

“Patik sentiasa mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesejahteraan, kesihatan dan keberkatan berpanjangan kepada Tuanku,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO