Agenda Pembangunan Bagan Datuk Terus Diperkasa – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 30 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa agenda pembangunan di Parlimen Bagan Datuk akan terus diperkukuh melalui pemantauan berterusan bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Parlimen Bagan Datuk bersama kementerian, agensi pelaksana dan pihak teknikal di Putrajaya, hari ini.

“Mesyuarat ini memberi ruang meneliti projek-projek utama serta memastikan setiap pelaksanaan berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan. Bagi saya, pemantauan berterusan adalah kunci memastikan setiap projek benar-benar memberi impak positif kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Jelasnya, antara projek yang sedang dilaksanakan di Bagan Datuk termasuk pembinaan serta penaiktarafan jalan utama Parit 1 hingga Parit 10 yang menghubungkan Jalan FT69, selain pembinaan kuarters guru bagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bagan Datuk yang kini dalam proses pra-pelaksanaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan mempercepatkan perancangan Bandar Baharu Bagan Datuk, Taman Perindustrian serta projek Fishery agar berjalan mengikut jadual.

Mesyuarat tersebut turut membentangkan Pelan Induk Pelancongan Daerah Bagan Datuk yang dijangka membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, termasuk menjadikan Masjid Tuminah Hamidi sebagai destinasi “Islamic Tourism”, pembangunan Dataran Niaga Pekan Simpang Tiga serta penyediaan papan tanda arah ke lokasi pelancongan utama.

“Alhamdulillah, saya gembira melihat usaha pembangunan ini terus digerakkan demi kesejahteraan rakyat di kawasan ini. Insya-Allah, dengan komitmen semua pihak, agenda pembangunan di Bagan Datuk akan terus diperkukuh,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO