Penyelesaian RUU URA Bukan Di Jalanan, UMNO Pilih Dialog Demi Rakyat Dan Negara – Sollehin
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Pemuda UMNO menegaskan pendirian untuk menangani isu Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) adalah melalui pendekatan ilmiah dan konstruktif, bukannya dengan mengheret rakyat ke jalanan.
Ketua Penerangannya, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, langkah Pemuda Pas menganjurkan demonstrasi bantahan kononnya mampu menarik perhatian, namun ia tidak membawa sebarang penyelesaian yang tuntas.
“Pemuda Pas sibuk turun ke jalan mengadakan demonstrasi bantahan RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA), tetapi Pemuda UMNO lebih memilih jalan yang bijak dan konstruktif.
“Pada 3 Oktober nanti, UMNO akan menganjurkan Konvensyen URA yang menghimpunkan pakar, penggubal dasar dan wakil masyarakat untuk mencari solusi tuntas demi kepentingan rakyat. Berbeza dengan Pas yang memilih demonstrasi, mungkin menarik perhatian tetapi tidak menyelesaikan masalah.
“UMNO percaya penyelesaian datang melalui hujah, fakta, perancangan dan bukan sekadar teriakan di jalanan. Inilah bezanya pendekatan UMNO. Pemuda UMNO tidak hanya menentang, tetapi menawarkan solusi demi rakyat, demi masa dan demi depan negara,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu, Pemuda Pas melalui Timbalannya Mohd Hafez Sabri mengajak Pemuda UMNO menyertai Himpunan Mega Tolak URA yang dijadual berlangsung pada 4 Oktober di ibu kota, tetapi ditolak oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Malah Dr Akmal turut mengajak Pemuda Pas untuk menyertai dialog yang dianjurkan oleh UMNO bagi menyelesaikan permasalahan RUU URA .
Untuk rekod, pada 28 Ogos lalu, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU PSB atau URA ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.
Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen. – UMNO Online
