Pelajar Cemerlang Bekerja Bantu Keluarga, Dr Asyraf Tawar Sambung Belajar

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pihaknya akan menawarkan pembiayaan pengajian kepada seorang pelajar cemerlang yang terpaksa berhenti belajar dan bekerja di kilang akibat kesempitan hidup.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata meskipun pelajar tersebut mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan di peringkat Asasi, namun tidak dapat meneruskan pengajian kerana tidak menerima bantuan kewangan.

“Pagi-pagi sudah terima mesej ada pelajar cemerlang SPM 9A, Asasi 3.87 tapi berhenti belajar untuk kerja kilang sebab faktor kemiskinan. MARA akan tawar pembiayaan belajar Kejuruteraan Elektrik dan laluan kerjaya yang baik di BMI, UniKL.

“Lebih menyedihkan saya kerana pelajar ini bekas pelajar MRSM. Ayahnya sakit manakala ibunya hanya bekerja membantu membungkus nasi lemak.

“Apabila pelajar ini dapat email bahawa pihak universiti tak dapat menawarkan bantuan, beliau ambil keputusan sendirian untuk tidak meneruskan pengajian ke kampus induk setelah berjaya menamatkan pembelajaran di peringkat Asasi dengan mendapat keputusan cemerlang CGPA 3.87.

“Sebaliknya, beliau bekerja kilang untuk menampung keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf berkata, beliau turut bekerjasama dengan Ketua UMNO bahagian di kawasan tersebut bagi menyalurkan bantuan, sebelum beliau sendiri turun padang untuk bertemu pelajar berkenaan.

“Saya sudah minta UMNO Bahagian untuk bantu dapatkan bantuan kepada keluarga ini. Saya sendiri nak berjumpa dengan pelajar ini untuk memujuknya meneruskan pengajian.

“Saya juga berbincang dengan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA lepas Subuh tadi dan bersetuju untuk menawarkan tempat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di British Malaysia Institute (BMI) bawah UniKL yang seiring dengan pencapaian keputusan Asasinya.

“Sesungguhnya hanya dengan ilmu sahaja boleh merubah kehidupan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO