Konvensyen URA 3 Oktober, Sertai Dan Beri Pandangan Melalui QR

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ataupun Urban Renewal Act (URA) akan berlangsung pada 3 Oktober ini.

Konvensyen yang dianjurkan hasil inisiatif UMNO ini diadakan dengan bertujuan untuk membuka peluang kepada masyarakat bagi memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan.

Konvensyen ini akan dimulakan pada jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Masyarakat yang terdiri daripada orang persendirian, persatuan dan pertubuhan digalakkan untuk memberi pandangan, cadangan ataupun kegusaran mengenai isu pembaharuan semula bandar menerusi kod QR tertera.

Kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menghadiri konvensyen ini boleh mengesahkan kehadiran menerusi kod QR sama, namun diingatkan bahawa tempat adalah terhad.

Pada 23 September media melaporkan Konvensyen Melayu Bandar yang akan mengkhususkan kepada perbincangan mengenai Akta PSB atau URA bakal dianjurkan pada 3 Oktober ini.
Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Akta URA, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, konvensyen tersebut membuka peluang kepada masyarakat untuk memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan.

Pada 28 Ogos lalu, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU PSB atau URA ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.

RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming, sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO