Isu FIFA: Exco Johor Tegaskan Maruah Bola Sepak Malaysia Wajar Dipertahan

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyeru seluruh Exco Sukan negeri-negeri lain, menteri serta semua pihak yang berkepentingan untuk bersama bersolidariti mempertahankan kepentingan negara.

Tegasnya, inilah masanya kita bersatu, bukan menuding jari mencari salah dan apa yang lebih utama adalah memastikan Harimau Malaya tidak dihina di pentas antarabangsa.

“Maruah negara adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Isu yang berbangkit berhubung laporan dokumen tidak wajar dijadikan alasan untuk merendah-rendahkan dan memperlekeh Malaysia.

“DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam memperjuangkan isu yang melibatkan maruah bola sepak negara.

“Seluruh rakyat Malaysia mesti berdiri teguh dan bersatu hati mempertahankan pasukan kebangsaan agar tidak diperlekehkan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Hairi yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata setiap proses penilaian oleh FIFA telah melalui tapisan ketat, manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut melaksanakan tanggungjawab dengan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan.

“Kepimpinan baharu FAM kini sedang berusaha merejuvenasi skuad kebangsaan. Usaha ini wajar mendapat sokongan penuh daripada semua pihak.

“Harimau Malaya bukan sekadar pasukan bola sepak, ia adalah simbol maruah Malaysia. Dan maruah ini mesti kita pertahankan bersama,” ujarnya.

Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web rasmi FIFA turut memaklumkan pihaknya telah menerima aduan berkenaan kelayakan lima pemain selepas tamat perlawanan tersebut.

Pemakluman berkenaan keputusan itu sudah dimaklumkan kepada FAM dan permain yang terlibat, yang mana tempoh 10 hari diberikan bagi meminta penjelasan bertulis atau mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO