Bulan Kesiapsiagaan Nasional Persediaan Penting Hadapi Risiko Bencana
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) sebagai persediaan penting dalam menghadapi sebarang risiko, khususnya menjelang Musim Monsun Timur Laut (MTL).
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, bagi mendepani musim tersebut, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sejak tahun 2016 telah menetapkan bulan Oktober sebagai BKN.

“BKN dianjurkan bukanlah bertujuan untuk meraikan sebarang bencana, tetapi untuk mengarusperdanakan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi sebarang risiko, khususnya menjelang musim MTL,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Mengulas lanjut, kata beliau penganjuran ini berfungsi sebagai pemangkin bagi meningkatkan kesedaran rakyat dan memupuk penglibatan menyeluruh Whole of Government dan Whole of Society agar bersedia menghadapi kemungkinan yang mendatang.
Katanya lagi walaupun bencana tidak dapat dielakkan, namun risikonya boleh diurus dan kesannya mampu diminimumkan sekiranya kesiapsiagaan diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Antara matlamat BKN ialah meningkatkan tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana.
“Menghebahkan langkah-langkah mitigasi yang dilaksanakan kerajaan serta menekankan bahawa pengurusan bencana adalah tanggungjawab bersama.
“Justeru, marilah kita bersama menyemai kesedaran, memperkukuh kesiapsiagaan dan membudayakan sikap berjaga-jaga dalam setiap lapisan masyarakat. Sentiasa siaga, bencana terjaga,” ujar beliau. – UMNO Online
