SWP Kukuhkan Jaringan Di Sabah – Dr Masliha

KOTA KINABALU, 28 Sept – Sekretariat Wanita Profesional (SWP) merupakan inisiatif yang diterajui oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, dengan matlamat memperkukuh jaringan kerjasama dalam kalangan wanita profesional di seluruh negara, termasuk di Sabah.

Pengerusi SWP, Dr Masliha Harun berkata, langkah ini terus diperkasakan dengan pelantikan Dr. Sabrina Moa sebagai Timbalan Pengerusi SWP dari Sabah sebagai simbol kekuatan, ketabahan bahawa wanita professional mampu menyumbang kepada masyarakat.

Katanya, pelantikan itu akan membuka ruang lebih luas bagi memperkasakan jaringan profesional dan berkembang lebih luas serta menyeluruh merentasi pelbagai bidang kepakaran.

“Dr Sabrina Moa bukan sahaja seorang pegawai perubatan, malah beliau merupakan seorang ‘stroke survivor’ dan pernah koma selama dua (2) minggu dan kini memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU). Namun walaupun berdepan cabaran yang sulit itu beliau bangkit kembali dan bergiat aktif menyumbang SWP dari awal penubuhannya.

“SWP komited untuk terus menyantuni komuniti dengan menawarkan khidmat kepakaran, pengalaman, dan nilai tambah daripada golongan wanita profesional. Ini adalah satu usaha strategik dalam memperkasa wanita sebagai ejen perubahan yang berdaya saing dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan negeri dan negara.

“Mereka adalah orang yang sangat berjaya dalam bidang masing-masing dan kami sangat bertuah kerana dapat mengenali. Semoga ukhuwah ini berkekalan dan semoga jaringan perkenalan ini dapat diperluaskan lagi,” katanya kepada UMNO Online.

Turut hadir, Exco Wanita UMNO; Datin Anne Ngasri; Hisham Suhaily Othman; Ahli SWP  Dr Elizabeth Ong; Mantan SUPOL DCM Sabah Datuk Fadila Sarbi; Usahawan Food and Beverage; Datin Noor, Reny dan semua pimpinan SWP Sabah.

Dr Masliha yang juga Exco Wanita UMNO menjelaskan bahawa Langkah yang dibawa oleh SWP ini adalah satu inisiatif penting dalam memperkasakan golongan wanita sebagai ejen perubahan.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha strategik dalam memperkasa wanita sebagai ejen perubahan yang berdaya saing serta mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan negeri dan negara.

“SWP akan terus menggembleng tenaga wanita profesional bagi memastikan suara mereka bukan sahaja didengari, malah dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, golongan wanita akan terus menjadi tonggak penting dalam usaha membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang. -UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO