Visit Malaysia Travel Meet 2025 Himpun Lebih 400 Penggiat Industri Pelancongan di Melaka

MELAKA, 26 Sept – Negeri Melaka sekali lagi mencatat sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah Visit Malaysia Travel Meet 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh bermula hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, penganjuran selama tiga hari program itu menjadi platform strategik menghimpunkan lebih 400 penggiat industri pelancongan dari seluruh negara di bawah satu bumbung.

“Sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, penganjuran Visit Malaysia Travel Meet 2025 selama 3 hari ini menjadi platform strategik yang menghimpunkan lebih 400 penggiat industri pelancongan dari seluruh negara di bawah satu bumbung,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Katanya, ia bukan sahaja menyediakan ruang jaringan dan kolaborasi antara penggiat industri, malah membuka peluang pelaburan baharu yang mampu memperkukuh ekosistem pelancongan negara.

“Acara ini adalah jambatan untuk memperluas rangkaian antarabangsa serta memperkenalkan produk dan potensi pelancongan negara kita kepada dunia. Melaka berbangga kerana dipilih sebagai tuan rumah kepada pertemuan penting ini,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, khususnya menjelang kempen besar Tahun Melawat Malaysia 2026.

Acara kemuncak program ini adalah pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri esok.

“Kempen nasional ini menyasarkan kehadiran seramai 35.6 juta pelancong dari dalam mahupun luar negara.”

Ujarnya, program berprestij itu dianjurkan bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia, sekali gus meletakkan bumi bersejarah Melaka sebagai pusat tumpuan utama dunia dalam bidang pelancongan.

Katanya lagi, dengan penyertaan melibatkan pelbagai pemain industri pelancongan, Visit Malaysia Travel Meet 2025 diyakini akan menjadi titik tolak baharu untuk mengangkat sektor pelancongan Malaysia ke tahap lebih tinggi, seiring dengan reputasi negara sebagai destinasi pelancongan pilihan global.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad; EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO