Usaha Memperkasa Penggunaan Kenderaan Elektrik Langkah Strategik – Rais
KUALA LUMPUR, 26 Sept – EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin melihat usaha memperkasakan penggunaan kenderaan elektrik (EV) oleh agensi kerajaan negeri sebagai satu langkah yang terbaik.
Menurut beliau permulaan kepada usaha berkenaan oleh agensi-agensi kerajaan negeri untuk tujuan operasi serta promosi, sekali gus meletakkan Melaka sebagai peneraju utama dalam ekosistem mobiliti lestari di Malaysia.
“Alhamdulillah, sejurus selesai Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), saya mengiringi YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, bersama Ahli-Ahli MMKN telah menyaksikan majlis penyerahan 25 kenderaan elektrik (EV) Honda kepada Kerajaan Negeri Melaka bertempat di Encore Melaka.
“Sebagai Exco Kanan yang dipertanggungjawabkan terhadap agenda Teknologi Hijau, saya melihat usaha sama ini sebagai langkah yang strategik.
“Dan ianya amat penting dalam menyokong mobiliti hijau dan kelestarian alam, mengurangkan jejak karbon di Melaka, memperkasakan penggunaan kenderaan elektrik (EV) oleh agensi kerajaan negeri untuk tujuan operasi serta promosi, sekali gus meletakkan Melaka sebagai peneraju utama dalam ekosistem mobiliti lestari di Malaysia,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Kata Rais lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, kerjasama berkenaan amat bertepatan dengan tema World Tourism Day (WTD) 2025.
“Kerjasama ini bertepatan dengan tema World Tourism Day (WTD) 2025 – “Pelancongan dan Transformasi Mampan” serta menyokong aspirasi negara menuju karbon neutral 2050. Semoga inisiatif ini terus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan hijau, moden dan mampan,” tambahnya. – UMNO Online
