‘Lebih Baik Kerajaan Kelantan Fikir Ganti Sumber Haram, Bukan Pertahan Aktiviti Salah’

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berpandangan bahawa adalah lebih baik jika Kerajaan Negeri Kelantan memikirkan bagaimana untuk menggantikan sumber pandapatan rakyat daripada haram kepada halal.

Membidas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, beliau turut mempersoalkan adakah Kerajaan Negeri Kelantan hanya membiarkan segala kegiatan ekonomi haram terus berlaku di negeri tersebut.

“Kenyataan daripada Timbalan Menteri Besar Kelantan sangat-sangat mengecewakan. Beliau lebih sanggup memikirkan tentang pendapatan masyarakat dan rakyat yang bergantung kepada sumber penyeludupan ataupun haram.

“Maknanya, sebelum ini Kerajaan Negeri Kelantan sememangnya membiarkan apa jua ekonomi haram berlaku, yang paling penting ia memberikan sumber pendapatan. Jika kita bercakap tentang Islam, ya sumber pendapatan itu penting tetapi sepatutnya kita meletakkan yang halal.

“Bukannya bergantung kepada pengkalan haram yang kita tahu seperti penyeludupan ataupun aktiviti-aktiviti ekonomi menongkah arus peraturan ditetapkan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, Kerajaan Negeri Kelantan perlu mencari jalan dengan menyediakan peluang supaya ekonomi baharu timbul termasuklah dengan memperkasakan semula Rantau Panjang.

“Baik kiranya pihak Kerajaan Negeri Kelantan memikirkan bagaimana untuk menggantikan sumber pendapatan yang haram kepada halal. Di Rantau Panjang sekarang ini sunyi. Sepatutnya Kerajaan Negeri Kelantan memikirkan jalan penyelesaian supaya masyarakat yang bergantung kepada sumber haram akan berpindah kepada halal.

“Kerajaan perlu menyediakan peluang-peluang supaya ekonomi baharu timbul dan tidak bergantung lagi kepada sumber pendapatan daripada pengkalan haram,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa pandangan Timbalan Menteri Besar Kelantan adalah sangat mengecewakan dan berfikiran cetek.

“Di Kelantan sangat banyak pekerjaan-pekerjaan yang haram. Adakah apabila ada tangkapan kes dadah, maka pihak kerajaan negeri rasa kecewa kerana tauke-tauke dadah telah hilang punca pendapatan?

“Adakah Kerajaan Negeri Kelantan rasa bimbang apabila penyeludup-penyeludup tidak ada pendapatan? Kenapa tidak difikirkan untuk rakyat mencari makan bersumberkan rezeki halal?

“Jadi inilah satu jawapan kepada pandangan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang sememangnya sangat mengecewakan dan berfikiran cetek,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan menyuarakan kebimbangan terhadap nasib rakyat yang mungkin kehilangan sumber pendapatan susulan operasi merobohkan lebih 200 pengkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.

Beliau berkata, operasi perobohan yang dijalankan di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan isu keselamatan, imigresen dan undang-undang dua negara. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO